Pelajar tingkatan tiga dikhuatiri lemas di Sungai Kerian
Astro Awani
Mac 10, 2017 19:37 MYT
Mac 10, 2017 19:37 MYT
Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas selepas mandi di Sungai Kerian, Jalan Bukit Panchor, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai M. Philip Damian, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist dikatakan hilang ketika sedang mandi dan masih gagal dikesan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.47 pagi tadi daripada orang awam memaklumkan mengenai kejadian sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, seramai 10 anggota bomba termasuk dari unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat dalam radius 50 meter dari tempat mangsa dipercayai lemas.
Terdapat pakaian dan beg sekolah yang dipercayai milik mangsa ditemui di tinggalkan di atas tebing berhampiran lokasi mangsa lemas.
Sehingga kini usaha mencari dan menyelamat masih dilakukan.