Pelajar tingkatan satu terjatuh bangunan sekolah meninggal dunia

Umavathi Ramayah
Jun 29, 2024 21:49 MYT
Naazron berkata, mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi di Hospital Kajang ketika sedang menjalani rawatan. - Gambar PDRM
KAJANG: Seorang pelajar tingkatan satu yang cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolah di Kajang pada Jumaat meninggal dunia awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi di Hospital Kajang ketika sedang menjalani rawatan.
Beliau memberitahu, berdasarkan laporan bedah siasat, kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Pun begitu polis menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes ini secara terperinci,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Naazron memberitahu, setakat ini polis telah memanggil lapan saksi untuk dirakam percakapan berhubung insiden itu.
Siasatan kes itu katanya, dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Berdasarkan rakaman kamera litar terutup (CCTV), beliau berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolah dan bukannya tingkat tiga.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektit Muhammad Faizal bin Azizi di talian 011-16120032 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang Jumaat, mangsa yang berusia 13 tahun dikejarkan ke Hospital Kajang, di sini kerana mengalami kecederaan dipercayai di bahagian kepala dan anggota badan lain selepas terjatuh dari bangunan sekolah.
#bedah siasat #pelajar #jatuh bangunan #CCTV
;