Pelajar Tingkatan Satu dipukul kerana didakwa mengadu kepada guru
Astro Awani
Jun 28, 2016 20:50 MYT
Jun 28, 2016 20:50 MYT
Seorang pelajar Tingkatan Satu di sini mendakwa ditendang seorang pelajar sehingga patah tulang belakang ketika kelas sesi petang disekolahnya pada Isnin.
Mohd Danish Danial Al-Sofian dari Kampung Tanah Merah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan dua tulang belakangnya patah dan satu lagi retak.
Mangsa yang ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar berkata, kejadian berlaku selepas pelajar menunaikan solat zohor di surau sekolah.
Jelasnya, seorang pelajar dari kelas lain tiba-tiba datang dan menumbuk mukanya ketika dia sedang berjalan dari makmal komputer untuk ke kelas.
Danish berkata, ketika kejadian hanya seorang pelajar sahaja yang memukulnya manakala yang lain hanya membuat kepungan.
Danish dibawa ke Hospital Jitra jam 5.30 petang untuk pemeriksaan lanjut namun dirujuk ke HSB kira-kira jam 10 malam hari yang sama.
Jelas Danish, pelajar itu menyangka dia mengadu kepada guru mengenai gaya rambut bergarisnya.
Satu laporan polis dibuat ibu mangsa, Norizan Johari di Balai Polis Kubang Pasu pada petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abdul Hadi Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Jelasnya, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebelum kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.