Pelajar tingkatan lima SMK Petra Jaya jatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah

Azizah Alwi
Januari 20, 2021 11:13 MYT
Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 pagi, ketika pelajar berkenaan berada berhampiran bilik darjahnya. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Hari pertama sesi persekolahan di SMK Petra Jaya di sini bertukar tragedi apabila salah seorang pelajar jatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah tersebut.
Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 pagi, ketika pelajar berkenaan berada berhampiran bilik darjahnya.
Mangsa yang berusia 17 tahun dari Kampung Tupong Batu di sini kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak menggunakan ambulans dan keadaan dilaporkan stabil.
Tinjauan Astro AWANI sebentar tadi mendapati petugas forensik PDRM sedang melakukan siasatan di lokasi berkenaan.
Hari ini merupakan hari pertama persekolahan, untuk calon-calon yang mengambil peperiksaan awam.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.
"Apa yang kita difahamkan ialah, pelajar terbabit datang ke sekolah pada pukul 6.30 pagi, meletak beg di bilik darjah dan terjun ke bawah.
"Kita masih lagi menyiasat punca tindakannya itu. Ada yang menatakan dia mahu membunuh diri. Bagaimanapun di kini dirawat di HUS," katanya.
#pelajar jatuh #SMK Petra Jaya #pelajar tingkatan lima #hari pertama sekolah #Kampung Tupong Batu
;