Pelajar Tingkatan Lima maut pulang dari surau, terlibat kemalangan dua motosikal
Amirrul Rabbani
Ogos 1, 2023 10:30 MYT
Ogos 1, 2023 10:30 MYT
PARIT: Seorang pelajar Tingkatan Lima maut ketika dalam perjalanan pulang dari surau selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah motosikal lain di KM19 Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian pada jam 7 malam itu membabitkan motosikal jenis Honda Dash yang ditunggang lelaki berusia 64 tahun dan motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggangi remaja berusia 17 tahun.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, warga emas itu sedang dalam perjalanan dari Tanjung Belanja menuju ke rumahnya di Kampung Tua, yang menghala ke Bota Kiri.
Menurutnya lagi, apabila lelaki berkenaan sampai di persimpangan rumahnya, dia tiba-tiba membelok motosikalnya ke kanan sebelum dilanggar motosikal dari arah bertentangan, yang ditunggang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah, dekat sini, itu.
Jelasnya, ketika kejadian, kedua-dua mangsa didapati tidak memakai topi keledar.
“Apabila sampai di simpang rumahnya, penunggang motosikal jenis Honda Dash tiba-tiba membelok ke kanan.
"Ini menyebabkan penunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC yang bergerak lurus ketika itu tidak sempat memberhentikan motosikalnya dan melanggar motosikal Honda Dash itu.
“Akibat daripada kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala masing-masing dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Changkat Melintang, dekat sini, hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Di samping itu, beliau turut menasihatkan agar semua penunggang motosikal sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.
“Pihak polis menasihatkan semua penunggang motosikal agar sentiasa berhati-hati, memakai topi keledar dengan betul dan kemas, serta mematuhi peraturan dan undang-undang,” ujarnya.
#Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja
#tidak pakai topi keledar
#penunggang motosikal maut
#motosikal berlanggar satu sama lain