Pelajar Tingkatan Lima maut motosikal langgar kon

Sinar Harian
November 25, 2024 11:15 MYT
Mangsa terlibat dalam kemalangan di Lebuh AMJ Peringgit Jaya, di sini, lewat petang Ahad. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Peringgit Jaya, di sini, lewat petang Ahad.
Kejadian kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan mangsa, Nurul Emelda Faiz Wendyson, 17, yang menunggang motosikal jenis Honda C1004-MA meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang membonceng seorang wanita berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah lampu isyarat berhampiran Bukit Palah menghala ke Balai Panjang.
Menurutnya, setiba di lokasi, mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar kon penghadang jalan yang terletak di sebelah kiri sebelum terjatuh di atas jalan raya.
"Sebuah motosikal jenis Honda Vario ACB yang berada di belakang mangsa pula tidak sempat menggelak lalu melanggar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu itu dan terjatuh.
"Kemalangan itu menyebabkan Nurul Emelda disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng dan penunggang motosikal lelaki mengalami luka," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Christopher Patit berkata, penunggang motosikal cedera di tangan kanan dan kiri, siku kanan serta lutut kanan yang merupakan pelajar SMK Tinggi Melaka itu dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Ujarnya, siasatan lanjut mendapati kesemua mangsa yang terlibat tidak mempunyai lesen.
"Siastan masih dijalankan dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. - Sinar Harian
#Nahas #motosikal #pelajar #meninggal dunia
;