Pelajar tingkatan lima dicekup edar dadah

Radhi Muslim
Oktober 1, 2019 10:19 MYT
Suspek yang berumur 18 tahun dicekup bersama 5.25 gram (G) dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM787.
Ingin membantu meringankan beban kehidupan keluarga dengan mengedar dadah.
Itu alasan yang diberikan seorang pelajar sekolah menengah selepas diberkas dalam satu kejadian di kawasan Taman Panji, dekat sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, suspek berumur 18 tahun dicekup bersama 5.25 gram (G) dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM787.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota polis sedang menjalankan Op Tapis lalu terserempak dengan suspek yang dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, suspek cuba melarikan diri sebaik dihampiri polis namun berjaya ditangkap dan diperiksa.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, suspek menyerahkan sendiri dadah berkenaan yang disimpan dalam satu paket lutsinar dan sembilan gulung kertas timah.
“Hasil siasatan lanjut, suspek merupakan pelajar sekolah menengah di daerah ini dan bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini.
“Pelajar ini mengakui mula mengedar dadah kecil-kecilan sejak awal bulan September tahun ini akibat terpengaruh dengan rakan dan untuk mencari wang meringankan beban keluarga,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Nasri berkata, suspek memperolehi sumber bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Abang’ di Kampung Puyut, Lahad Datu dan polis sedang giat memburu individu berkenaan.
Tambah beliau, remaja itu tidak memiliki rekod lampau dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1957.
#beban keluarga #Dadah #Lahad Datu #Nasri Mansor #pelajar #polis #remaja #sekolah #siasatan #suspek
;