Pelajar Tingkatan Enam maut, motosikal bergesel dengan rakan

Sinar Harian
Januari 1, 2024 11:10 MYT
Mohamad Farhan Hakimi (gambar kecil) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian nahas melibatkan motosikal bergesel di Jalan Tun Abdul Razak, Melaka, pagi ini. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Kegembiraan seorang pelajar sekolah menyambut tahun baharu bersama rakannya tidak berpanjangan selepas maut dalam kemalangan di Jalan Tun Abdul Razak, di sini pada pagi ini.
Dalam kejadian lebih kurang jam 4.40 pagi, mangsa Mohamad Farhan Hakimi Mohd Rasidi,19, yang juga pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Chiristopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR datang dari arah jejambat Kota Cemerlang menuju ke arah Lampu Isyarat Taman Muzaffar Shah.
Menurutnya, mangsa secara tiba-tiba menukar ke lorong kanan untuk memintas motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang rakannya berusia 17 tahun sebelum kedua-duanya bergesel sesama sendiri.
"Impak kemalangan itu motosikal Y15ZR mangsa telah terbabas menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya.
"Bagaimanapun rakannya yang bersekolah lain dan beralamat di Taman Muzaffar Shah sempat mengawal motosikal dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan notis Pol 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
"Polis meminta saksi kejadian sekiranya ada untuk tampil membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Sinar Harian
#pelajar Tingkatan Enam maut #kemalangan #penunggang motosikal maut #motosikal bergesel
;