Pelajar Tingkatan Enam direman bantu siasatan kes bunuh rakan
Nur Fazlizai Ali
November 3, 2020 11:47 MYT
November 3, 2020 11:47 MYT
MARANG: Seorang pelajar Tingkatan Enam direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan bekas rakan sekolahnya.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret di sini.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 10.10 pagi.
Terdahulu semalam, suspek ditahan selepas tampil bagi memberi keterangan di Balai Polis Telemong, Hulu Terengganu, kira-kira jam 7.30 pagi.
Tindakan diambil pihak polis susulan keterangan yang diberikannya berhubung kejadian didapati sangat mencurigakan.
Pada Ahad, Siti Nur Surya Ismail, 19 tahun, dipercayai dibunuh di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu.
Mangsa ditemui dengan beberapa kesan tikaman, dipercayai akibat senjata tajam, di beberapa bahagian badan, termasuk putus pergelangan tangan kiri.
Polis percaya penahanan suspek yang bersekolah bersama mangsa dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima itu sekali gus membongkar motif kejadian pembunuhan kejam itu.
#remaja
#mahkamah
#bunuh
#Mahkamah Majistret
#Marang
#mangsa
#suspek
#mati
#siasatan
#samun
#rakan sekolah
#Hulu Terengganu
#telemong
#Siti Nur Surya Ismail
#pelajar
#Tingkatan Enam
#reman
#tikam