Pelajar Tingkatan Empat didakwa cabul dua anak saudara

Muhafandi Muhamad
Julai 21, 2020 17:51 MYT
Tertuduh yang berasal dari Pasir Puteh bagaimanapun mengaku tidak bersalah. -Sinar Harian
Seorang pelajar Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bachok pada Selasa atas pertuduhan mencabul dua anak saudaranya berusia empat dan tujuh tahun sejak awal tahun ini.
Tertuduh yang berasal dari Pasir Puteh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks dengan anak saudaranya yang berusia tujuh tahun dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa tanpa kebenarannya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi anak saudaranya yang berusia empat tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Pasir Puteh kira-kira pukul 1 petang antara bulan Januari hingga 23 Jun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377(ca) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gayathri Sambath manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Norasmawi Norani.
Mohd. Dinie Shazwan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
#anak saudara #bapa saudara #cabul #Hukuman #mahkamah #Mengaku #penjara #seks #tanpa kerelaan #tidak bersalah
;