Pelajar Tingkatan Dua parah terjatuh dari jejantas dekat sekolah
Astro Awani
Mei 30, 2022 16:55 MYT
Mei 30, 2022 16:55 MYT
CHUKAI: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di sini, parah selepas terjatuh dari jejantas setinggi 10 meter berhampiran sekolahnya pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan, berkata kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu berlaku ketika pelajar terbabit menggunakan jejantas yang menghubungkan dua blok akademik berkenaan.
"Mangsa dipercayai mahu pergi ke blok bertentangan selepas selesai mengikuti sesi bacaan Yasin. Dia dipercayai terjatuh ketika berada di jejantas tersebut pada 7.30 pagi.
"Polis yang mendapat laporan terus ke lokasi kejadian dan menghantar mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Hanyan berkata, pelajar itu dilaporkan patah pinggang dan beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci.