Pelajar tingkatan dua meninggal dunia selepas pengsan semasa ke kantin

Bernama
Mac 15, 2025 09:45 MYT
Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Melaka, meninggal dunia selepas pengsan ketika berjalan ke kantin pagi semalam. - Gambar hiasan
MELAKA: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di sini, meninggal dunia selepas pengsan ketika berjalan ke kantin pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi ketika waktu rehat, dan pelajar tingkatan dua bukan Islam itu yang juga atlet bola tampar sekolah sedang berjalan ke kantin.
"Mangsa tiba-tiba pengsan berhampiran padang sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
"Bantuan pernafasan (CPR) turut diberikan selama 30 minit namun gagal menyelamatkan nyawa dan doktor yang merawatnya mengesahkan pelajar berkenaan meninggal dunia," katanya kepada pemberita malam tadi.
Beliau berkata, sebelum kejadian pelajar berkenaan dikatakan mengikuti kelas pendidikan jasmani pada waktu pagi dan tiada unsur jenayah dikesan.
"Kita sedang menunggu laporan lengkap makmal untuk mengetahui punca kematian dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
-- BERNAMA
#pelajar pengsan #pelajar tingkatan dua #meninggal dunia #bantuan pernafasan
;