Pelajar tingkatan dua maut, motosikal dirempuh kereta
Sharom Abu Bakar
Mac 2, 2018 05:25 MYT
Mac 2, 2018 05:25 MYT
Seorang pelajar tingkatan dua maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta pada Jumaat.
Rakannya turut cedera dalam kejadian pada kira-kira jam 5.30 petang di persimpangan lampu isyarat Kampung Alor Tempoyak, Kilometer 82, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun.
Mangsa maut, Adjie Saputra Mohamad Rashidi, 14 tahun bersama rakannya, Long Muhammad Hariz Long Ibrahim, 14 tahun, dipercayai dalam perjalanan pulang dari bandar Dungun ke kediaman mereka di bandar Paka ketika insiden berlaku.
Mangsa yang membonceng motosikal jenis Yamaha 135 LC maut di tempat kejadian manakala rakannya cedera di kepala.
Mereka dipercayai dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu lelaki berusia 32 tahun dari belakang sebelum diseret hampir 100 meter.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik di Hospital Dungun manakala rakannya dirawat di hospital yang sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengankutan Jalan 1987.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Rashidi Mohd Hassan berkata, dia tidak menyangka perbualan dengan anaknya selepas solat Jumaat adalah yang terakhir.
"Lepas sembahyang Jumaat, saya berjumpa dengan dia. Dia kata sekejap lagi dia nak balik.
"Selepas lama menunggu, saya terima panggilan telefon yang dia sudah sampai di hospital ini," katanya.
Menurutnya lagi, walaupun hasrat untuk pergi memancing bersama anak keduanya itu tidak kesampaian, namun dia sekeluarha redha dengan pemergiannya.