Pelajar tingkatan 5 maut dalam nahas dua motosikal di Yan
Adie Sufian Zulkefli
Jun 2, 2022 11:00 MYT
Jun 2, 2022 11:00 MYT
YAN: Seorang pelajar tingkatan lima maut manakala seorang lagi parah selepas terlibat dalam pelanggaran motosikal di Jalan Sungai Petani-Alor Setar, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, dalam kejadian jam 11 malam itu, pelajar terbabit menunggang motosikal jenis Honda EX-5 datang dari arah Guar Chempedak menghala Alor Setar.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, keadaan gelap dan hujan, jarak penglihatan mangsa yang terhad mengakibatkan dia terlanggar sebuah motosikal Yamaha 135 LC yang ditunggang seorang lelaki dari arah belakang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Shahnaz berkata, pelajar Muhammad Izham Md Yuro, 17, berasal dari Sungai Limau, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Penunggang motosikal Yamaha LC, Mohd Sobri Shafiai, 29, pula cedera parah.
Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.