Pelajar Tingkatan 5, 6 sudah dewasa, tahu jaga diri - Ismail Sabri
Rahimah Abdullah
Jun 29, 2020 17:26 MYT
Jun 29, 2020 17:26 MYT
Pelajar sekolah menengah terutama Tingkatan Lima dan Enam dianggap sebagai orang dewasa dan perlu tahu menjaga keselamatan bagi mengelak jangkitan COVID-19.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka diingatkan agar terus melakukan kawalan kendiri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila berada di luar sekolah.
"Saya percaya SOP Kementerian Pendidikan (KPM) adalah SOP dalam sekolah. Namun di luar... pelajar ini mungkin bebas apabila di luar sekolah.
"SOP dalam sekolah tidak lagi terikat kepada mereka. Apabila kita buka sekolah untuk pelajar SPM, STPM... mereka kita anggap orang sudah dewasa dan tahu menjaga diri mereka sendiri.
"Mereka patut jaga keselamatan diri," katanya dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini pada Isnin.
Malah katanya, walaupun SOP yang digariskan KPM tidak membabitkan kawasan luar sekolah, ia tidak bermakna pelajar boleh bebas dan tidak mematuhi SOP PKPP sedia ada.
"Jangan hanya patuh dalam sekolah, seterusnya mengisytiharkan 'merdeka' apabila keluar pagar sekolah. Mereka perlu mematuhi SOP yang lain apabila berada di luar sekolah.
"Pelajar Tingkatan Lima dan Enam mampu buat kawalan kendiri supaya tak langgar SOP luar sekolah," katanya.
#COVID19
#ismail sabri yaakob
#Kementerian Pendidikan
#kerajaan
#keselamatan
#Media
#Merdeka
#pelajar
#pendidikan
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#PKPP
#sekolah
#SOP
#SPM