Pelajar Tingkatan 4 di Jempol gunting tali pusat bayi sendiri, campak dalam semak

Shuhada Abdul Kadir
Februari 27, 2018 23:41 MYT
Remaja 16 tahun itu ditahan cuba buang bayi hasil hubungan dengan teman lelaki, sebelum menggunting tali pusat bayi itu sendiri. - Gambar hiasan
Seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah di Jempol, Negeri Sembilan ditahan polis selepas mengaku membuang bayi yang baru dilahirkan di rumah ibu bapanya di Felda Palong 8, Jempol, ke dalam semak berhampiran, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superitendan Azham Shah Azlan berkata, penahanan itu dibuat selepas remaja berkenaan tampil mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah pada malam Isnin.
“Kita terima maklumat daripada Pejabat Pertanyaan Balai Polis Melang tengah malam tadi memaklumkan seorang remaja perempuan terima rawatan di HTAN dan pegawai perubatan mendapati bahawa pelajar itu mempunyai kesan melahirkan anak.
"Selepas soal siasat dilakukan, pelajar berkenaan mengaku telah melahirkan bayi lelaki di dalam tandas rumah ibu bapanya pada 21 Februari lalu,”katanya.
Tambah beliau, remaja perempuan itu kemudiannya bertindak menggunting sendiri tali pusatnya itu.
Namun, 15 minit selepas itu dia mendapati bayi berkenaan tidak lagi bernafas sebelum membuang mayat bayi itu di kawasan semak longkang besar di Felda Palong 8.
"Pada 23 Februari lalu, pelajar itu ada pergi pergi ke Klinik Kesihatan berhampiran bersama bapanya ekoran berasa sakit dan memaklumkan bahawa dia terjatuh ketika sukan sekolah."
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan darah beku pada perut remaja berkenaan sebelum ibunya pula menemaninya ke HTAN tiga hari kemudiannya (26 Februari),” jelasnya.
Tambah Azhan Shah, pelajar itu turut mengakui telah menjalinkan hubungan dengan teman lelakinya yang dikenali sejak empat tahun lalu dan telah beberapa kali mengadakan hubungan seks.
Hasil maklumat itu, pihaknya kemudian menahan lelaki berusia 18 tahun sekitar 6 pagi Selasa.
Kes disiasat dibawah seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.
#buang bayi #Felda Palong 8 #hubungan seks #Jempol #mayat bayi #remaja hamil #teman lelaki
;