Pelajar tingkatan 3 lemas selepas tergelincir ke dalam sungai ketika memancing
Abd Razak Mohd Ali
Jun 17, 2019 08:45 MYT
Jun 17, 2019 08:45 MYT
Seorang pelajar tingkatan 3 lemas selepas dikatakan tergelincir ke dalam sungai ketika memancing berhampiran Desa Manjung Point II, di sini, petang Ahad.
Mangsa Muhammad Dani Irfan Abu Bakar, 15, dikatakan tergelincir ketika cuba mengambil seliparnya yang terjatuh ke dalam sungai semasa memancing bersama tiga lagi rakannya sekitar jam 2 petang.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Abdul Hazhar Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 2.35 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik mangsa terjatuh ke dalam sungai rakan-rakannya cuba membantu bagaimanapun mereka tidak berdaya lalu menghubungi bomba untuk meminta bantuan.
"Bomba yang tiba di lokasi menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR) secara permukaan di air sebelum menerima bantuan daripada Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Pulau Pangkor dan agensi lain," katanya di sini.
Menurutnya, mayat Dani Irfan berjaya ditemui pasukan penyelamat pada jam 8.42 malam, tersangkut di celah batu kira-kira 10 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada jam 9.30 malam," ujarnya.