Pelajar Tingkatan 2 lemas ketika mandi sungai bersama rakan
Umavathi Ramayah
Julai 20, 2024 14:50 MYT
Julai 20, 2024 14:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kegembiran seorang pelajar Tingkatan Dua mandi-manda dengan rakan-rakannya di sungai berhampiran Jalan Meranti 2, Kampung Pulau Meranti, Puchong di sini berakhir tragedi apabila dia dihanyutkan arus sebelum ditemui lemas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.41 petang Jumaat.
Berikutan itu, katanya, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Shah Alam dan Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi mencari Nik Ahmad Muzakkir Nik Razali.
"Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dipercayai dihanyutkan semasa sedang mandi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Ahmad Mukhlis berkata, pasukan operasi menemukan mayat mangsa pada pukul 6.36 petang Jumaat, kira-kira 30 meter dari lokasi dia hilang.
Beliau memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.