Pelajar Tingkatan 1 cedera jatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah

Afiezy Azaman
Jun 29, 2024 08:45 MYT
Menurut polis, mangsa yang jatuh dari bangunan sekolah itu dikejarkan ke Hospital Kajang dan dirawat dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki mengalami kecederaan selepas dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah di Kajang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Nazron Abdul Yusof, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.50 petang semalam.
"Siasatan mendapati seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun mengalami kecederaan selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah.
"Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kajang dan dirawat dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan.
"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Nazron berkata, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor bagi membantu siasatan," ujarnya.
#pelajar jatuh bangunan sekolah #jatuh #sekolah #Kajang
;