Pelajar teruja kembali ke IPT, kemasukan patuh SOP

Bernama
Oktober 15, 2021 05:08 MYT
Gelagat keluarga yang hadir ketika tinjauan selaras pengumuman KPT di mana pelajar dibenarkan kembali ke IPT bermula 15 Okt secara berperingkat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, 15 Okt, 2021. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Teruja dan gembira, perkataan paling tepat bagi menggambarkan perasaan para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) semasa proses pergerakan pulang ke kampus masing-masing untuk kembali mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, bermula semalam.
Walaupun seronok dapat kembali ke kampus, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat tetap dilaksanakan dan tidak dipandang remeh oleh pengurusan IPT bagi memastikan tiada sebarang penularan COVID-19 berlaku.
Ini termasuk melakukan saringan Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) ke atas semua pelajar sebelum mereka memasuki kampus atau asrama serta bersedia dengan segala persiapan sekiranya berlaku jangkitan.
Di KUALA LUMPUR, seramai 6,872 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari empat kampus iaitu Gombak, Kuantan, Pagoh dan Kuala Lumpur kembali ke kampus masing-masing bermula semalam.
Rektornya Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata pihak pengurusan universiti amat menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan pelajar bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.
"Dari segi persediaan kita sudah buat segala persiapan untuk menyediakan tempat kuliah dan pembelajaran yang selamat supaya kesihatan mereka terjaga. Sekarang kita kena lihat perkara ini sebagai endemik, kita akan buka (kampus) secara berperingkat untuk balik semula seperti sedia kala.
"Ini kerana pembelajaran secara bersemuka lebih berkesan berbanding dalam talian," katanya ketika ditemui Bernama di Kolej Marhalah Aminah, UIAM, di sini.
Seorang pelajar jurusan Pengajian Agama Usul Fiqh Nur Afizah Hamzah, 21, berkata beliau teruja bakal memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka setelah lebih setahun belajar secara dalam talian susulan COVID-19.
"Rasa lega dapat pulang ke kampus kerana fasiliti di sini serba lengkap berbanding belajar di rumah yang ada limitasi tertentu. Jadi, sudah tentu saya rasa gembira dapat pulang semula ke kampus untuk teruskan pembelajaran secara fizikal," katanya.
Di SELANGOR, pergerakan kira-kira 6,400 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ke kampus teratur dan mematuhi SOP ditetapkan.
Pengetua Kolej Mawar Dr Norhasnida Nordin berkata bagi kemasukan sesi Oktober 2021, hanya 50 peratus pelajar dibenarkan masuk ke dalam kampus dengan setiap orang diperiksa status vaksinasi mereka bagi memastikan tiada risiko penularan COVID-19.
Seorang pelajar dari Fakulti Sains Gunaan Muhammad Alif Naqiuddin Mohd Adzha, 20, berasa sangat gembira apabila dibenarkan kembali ke kampus kerana dapat bertemu semula dengan rakan-rakan setelah lebih setahun tidak bersua muka.
Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 800 daripada 2,445 pelajar baharu dan berkeperluan khas Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendaftar masuk ke kolej kediaman secara berperingkat bermula semalam.
Naib Canselornya, Prof Datuk Mohamed Ridza Wahiddin berkata pelajar tersebut merupakan kumpulan pertama yang mendaftar bagi fasa pertama bermula semalam sehingga Isnin depan (18 Okt).
Sementara itu, di MELAKA kemasukan 4,240 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi sesi pembelajaran secara fizikal dilaksanakan dalam empat fasa.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajarnya Datuk Sabri Mohamad Sharif berkata kemasukan secara berperingkat itu bagi mengelak kesesakan serta memudahkan setiap SOP ditetapkan dipantau dan dilaksanakan dengan teratur.
Di JOHOR, walaupun terpaksa belajar dalam keadaan pandemik yang masih belum reda, suasana di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini semalam penuh dengan kelegaan dan keterujaan bagi pelajar meneruskan sesi PdP di kampus.
"Saya sangat gembira dan teruja kerana selain dapat kembali belajar bersama dengan rakan-rakan, saya juga ingin lakukan yang terbaik memandangkan ini tahun terakhir saya di UTM. Jadi, saya perlu fokus dan pastikan markah saya elok terutama dalam projek terakhir saya," kata Natasya Azman, 22, pelajar tahun akhir jurusan biologi.
Beralih ke utara tanah air, pergerakan pelajar IPT di Politeknik Seberang Perai di PULAU PINANG dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di KEDAH juga berjalan lancar mengikut SOP ditetapkan.
Seramai 500 pelajar Politeknik Seberang Perai dan kira-kira 3,000 pelajar lama dan baharu UUM kembali secara berperingkat ke institusi pengajian masing-masing, dengan fasa pertama bagi UUM melibatkan 800 pelajar dari zon utara.
Pengarah Politeknik Seberang Perai Harith Fadzilah Abd Khalid berkata bagi memastikan proses kemasukan pelajar ke kampus berjalan lancar, 50 orang urus setia terdiri daripada 20 pegawai dan 30 pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institusi tersebut ditugaskan menyelia serta memantau SOP terus dipatuhi.
"Selain itu, pihak kami juga telah menubuhkan Jawatankuasa COVID-19 yang akan mengawal dan memantau proses kemasukan pelajar dengan lebih efisien," katanya.
#IPT #pembukaan semula IPT #pdp #kampus
;