Pelajar tersepit di besi penutup longkang pada hari pertama sekolah

Afiezy Azaman
Mac 20, 2023 11:00 MYT
Keadaan pelajar terjatuh dan tersepit pada besi penutup longkang selama 20 minit sebelum berjaya diselamatkan. - Foto JBPM
KUALA LUMPUR: Hasrat memulakan sesi persekolahan dalam keadaan ceria dan lancar tidak kesampaian bagi seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, pada Isnin.
Pelajar perempuan berusia 16 tahun itu telah terjatuh dan tersepit pada besi penutup longkang selama 20 minit sebelum berjaya diselamatkan.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.08 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam digerakkan lokasi.
"Berdasarkan laporan, kejadian melibatkan seorang mangsa pelajar perempuan berusia 16 tahun yang tersepit di besi penutup longkang pada kedalaman 1 meter.
"Menggunakan peralatan khas, bomba berjaya mengeluarkan mangsa dalam tempoh 1 minit," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Morni berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.
#sesi persekolahan #tersepit #besi penutup longkang #pelajar
;