Pelajar Terbaik Sekolah Menengah Agama Kedah 2020 maut kemalangan
Adie Sufian Zulkefli
November 16, 2021 18:17 MYT
November 16, 2021 18:17 MYT
BALING: Pelajar Terbaik Sekolah Menengah Agama Kedah tahun lalu maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Baru Baling-Kupang berdekatan Charok Nau, dekat Baling, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, Muhammad Munzir Abdul Razak, 19, dipercayai dalam perjalanan ke pusat pengajiannya di Yayasan Khairiah, Kampung Pisang, Kupang, sebelum motosikalnya berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jam 11.30 pagi.
Menurutnya, terdahulu mangsa baru sahaja lulus ujian lesen motosikal kelas B2.
Katanya, sebaik mendapat keputusan ujian, mangsa menunggang motosikalnya untuk pulang ke pusat pengajian sebelum terbabit kemalangan.
"Motosikal mangsa dikatakan keluar simpang secara mengejut sebelum berlanggar dengan MPV itu.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa melambung lalu jatuh di laluan bertentangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa berasal dari Taman Pekatra Indah, Simpang Empat, Pulau Pinang, meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Shamsudin berkata, Muhammad Munzir menerima pengiktirafan sebagai Pelajar Sekolah Menengah Agama Terbaik Kedah selepas mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 dan sedang menyambung pengajian di Yayasan Khairiah.
Jenazah kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Sementara itu, katanya pemandu MPV berusia 49 tahun berasal dari Kampung Kuala Chenerai, Kuala Pegang tidak mengalami kecederaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.