Pelajar, tenaga IPT belum divaksin: Pemantauan pergerakan lebih ketat jika kembali ke kampus - Noraini
Hasimi Muhamad
Oktober 11, 2021 11:09 MYT
Oktober 11, 2021 11:09 MYT
KUALA LUMPUR: Prosedur pemantauan pergerakan yang lebih ketat akan dijalankan terhadap penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan tenaga pengajar universiti yang belum divaksin, jika mereka terpaksa hadir secara fizikal ke kampus.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, seramai 2,286 atau 0.2 peratus pelajar yang menghadapi masalah kesihatan setakat 8 Oktober lalu, tidak menerima vaksin.
"Jadi, institut pengajian tinggi (IPT) disaran untuk membantu pelajar-pelajar ini supaya pengajian mereka tidak terjejas.
"Dalam situasi kritikal, sekiranya kehadiran secara fizikal tenaga pengajar atau pelajar yang tidak divaksin tidak dapat dielakkan, maka pemantauan pergerakan yang lebih ketat, Insya-Allah kita akan laksanakan.
"(Langkah ini) seperti pelaksanaan ujian saringan RTK-PCR tiga hari sebelum masuk kampus adalah wajib.
"IPT juga digalakkan melaksanakan ujian saringan kendiri secara berkala untuk memastikan mereka dalam keadaan yang baik," katanya di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang mahu tahu keadaan mahasiswa yang tidak divaksin, kerana difahamkan terdapat kes semakan mahkamah mengenai mereka yang belum divaksin mahu kembali ke kampus.
Mengulas lanjut, Noraini memaklumkan setakat 1 Oktober lalu, sebanyak 83 peratus atau 951,739 daripada 1.15 juta penuntut IPT telah lengkap dua dos vaksin COVID-19.
Manakala, kadar vaksinasi dalam kalangan kakitangan universiti yang lengkap menerima dos vaksin pula mencecah 90 peratus atau 117,721 orang.
"Pihak kementerian mengutamakan pelajar dan warga IPT yang mendapat dos vaksin lengkap untuk kembali ke kampus secara berperingkat.
"Manakala pelajar-pelajar lain boleh mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.
"Tetapi ini adalah bagi menyaksikan persekitaran IPT yang lebih selamat untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang bersemuka dengan norm baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," ujarnya.