Pelajar Tahun Satu pesakit kronik teruja mula sesi persekolahan
Nur Fazlizai Ali
Mac 20, 2022 08:15 MYT
Mac 20, 2022 08:15 MYT
KEMAMAN: Terpaksa menggunakan papan luncur atau 'skateboard' untuk bergerak akibat menghidap sakit tulang belakang kronik sejak lahir.
Namun Nur Jannah Nazirah Mohamad Sukri, 7, dari Kampung Ibok, Kemaman, tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan yang akan bermula minggu depan.
Anak bongsu daripada dua beradik pasangan Mohamad Shukri Ab Rahman, 48, dan Siti Suhailah Md Nor, 36, ini turut menghidap penyakit jantung terbalik dengan kedudukanya di bahagian kanan dada.
Menurut Siti Suhailah, pelbagai usaha untuk mendapatkan bantuan sebelum ini menemui jalan buntu.
"Kita minta dengan kebajikan sosial hospital, hospital pun tolong, dia beritahu untuk minta pertolongan JKM, namun ditolak.
"Gaji ayah dia tidak tinggi mana, RM1,500 sahaja. Tiada pertimbangan, terus tolak," katanya.
Jelasnya, pendapatan suaminya yang bekerja sebagai penjaga stor hanya cukup untuk membeli lampin pakai buang serta keperluan harian.
Prihatin dengan nasib keluarga berkenaan, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat menghulurkan bantuan kerusi roda khas bagi memudahkan Nur Jannah memasuki Tahun Satu Program Pendidikan Khas Integrasi Pembelajaran (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Ibok, Kemaman.
"Bantuan Tabung Darul Iman ini saya akan tengok macam mana, tapi kita sudah beri sebuah kerusi roda.
"Saya akan tanya pada keluarga ini apa lagi yang diperlukan dan saya akan periksa dengan Tabung darul Iman," katanya.