Pelajar tahfiz tergelincir, lemas ketika basuh tangan di sungai
Astro Awani
Ogos 29, 2014 10:59 MYT
Ogos 29, 2014 10:59 MYT
Akibat tergelincir ketika mahu membasuh tangan, seorang pelajar tahfiz sebuah sekolah agama ditemui mati lemas di Sungai Santap, Kampung Temalang, Jitra.
Mangsa, Muhammad Najmuddin Ibrahim, 15, ditemui dalam keadaan tertiarap di dasar sungai dengan kedalaman lima meter oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah kira-kira pukul 9.18 pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang Rabu, mangsa bersama seorang rakannya yang dikenali sebagai Hafif, 17, tergelincir ke dalam sungai ketika mahu membasuh tangan selepas makan nasi lemak berhampiran jambatan sungai tersebut.
Namun, secara tiba-tiba kedua-dua mangsa tergelincir dan dihanyutkan air deras walaupun cuba untuk menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.
namun, Hafif berjaya diselamatkan abangnya, dikenali sebagai Abdul yang kebetulan berada di situ manakala mangsa terus hilang ke dalam sungai.
Usaha mengesan mangsa digerakkan sejurus mangsa hilang dan menemui jalan buntu sehingga operasi mencari dan menyelamat di sambung hari ini sehingga akhirnya berjaya menemui mayat mangsa di dasar sungai pada pagi Khamis.
Menurut salah seorang saudara mangsa, Hamid Abdullah, mangsa merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah, Melela, Kodiang dan anak kedua daripada tiga beradik juga merupakan pelajar tahfiz yang cemerlang di sekolah.
Kata Hamid, arwah sepatutnya menghadapi peperiksaan kertas akhir percubaan PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga) hari ini dan tidak sempat menghabiskan peperiksaan tersebut.
Jelasnya, mangsa tidak menunjukan perubahan sebaliknya dilihat menjadi seorang pendiam.
"Mula-mula dia makan nasi bersama seorang kawan di atas titi itu. Kemudian abang dia turun untuk membasuh tangan kemudian terus hilang dan tidak pulang ke rumah sehingga malam," ujarnya,
Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba 2, Mohd Zaidi Mohd Lazim berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan bermula pukul 7.35 petang Rabu dan mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 9.18 pagi Khamis.
Mayat mangsa ditemui di dasar sungai dengan yang terletak hampir 100 meter dari tempat mangsa terjatuh oleh anggota bomba.
Jelasnya, keadaan arus yang deras ketika kejadian mungkin menyebabkan usaha mencari sejak semalam sedikit sukar.
"Kesukaran kita kali ini adalah arus deras. Kita mendapat maklumat semalam dan mulakan usaha mencari sehingga dasar sungai," katanya.
Mayat dibawa ke Hospital Jitra untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temalang pada petang Khamis.