Pelajar tahfiz maut terkena renjatan elektrik
Bernama
Oktober 16, 2024 13:11 MYT
Oktober 16, 2024 13:11 MYT
JERTIH: Seorang pelajar tahfiz maut selepas terkena renjatan elektrik ketika memegang mentol lampu di kantin asrama madrasahnya, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian pada 10.27 malam itu, Muhammad Fahim Rasyidi Shariful Hadi, 18, yang merupakan pelajar Madrasah Tahfiz Al Quranil Hakim, Kampung Gong Penaga, Jabi di sini, membasuh tangan di singki kantin asrama selepas selesai minum malam.
"Ketika berada dekat singki itu mangsa memegang mentol lampu elektrik yang sedang menyala yang berada berhampiran singki dan tiba-tiba mangsa terkena renjatan elektrik lalu rebah di tempat kejadian.
"Kejadian dipercayai berlaku kerana tangan mangsa dalam keadaan basah ketika memegang mentol lampu tersebut dan cuaca pula hujan lebat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rozak berkata mangsa kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut oleh guru di madrasah tersebut.
Bagaimanapun katanya mangsa yang berasal dari Klang, Selangor disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada 11.35 malam tadi.
"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.
-- BERNAMA