Pelajar tahfiz ditemukan lemas
Adie Sufian Zulkefli
Januari 27, 2023 18:19 MYT
Januari 27, 2023 18:19 MYT
KUALA KETIL: Seorang pelajar tahfiz di sebuah sekolah agama ditemukan mati lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam tasik di Kampung Pantai Chicar, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Absyar Roslan, 16, dikatakan tergelincir ketika mahu mengambil bola yang terjatuh ke dalam tasik tersebut.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain dengan beberapa pelajar lain tidak jauh dari lokasi kejadian yang terletak berhadapan Sekolah Maahad Al-Iman.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.28 pagi.
“Kita menggerakan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani ke lokasi.
“Mayat mangsa ditemui di dasar tasik pada jam 2.18 petang selepas operasi pencarian dilakukan dengan menggunakan teknik ‘graping iron’ dan pencarian di permukaan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rahimi berkata, mayat mangsa dijumpai tidak jauh dari tempat mangsa dipercayai tergelincir sebelum tenggelam.
Mayat mangsa kemudian diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.