Pelajar STAR dilanda penyakit misteri? Ini penjelasan Exco Kesihatan Perak
Astro Awani
April 17, 2019 12:47 MYT
April 17, 2019 12:47 MYT
Seramai empat pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini, disahkan positif Influenza A H1N1, bukan penyakit misteri seperti yang tular di dalam media sosial.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional Negeri Perak, A. Sivanesan berkata, pada 13 April lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta menerima makluman kejadian kluster demam dan batuk di kalangan pelajar sekolah itu.
Menurutnya, sehingga 16 April, seramai 79 orang pelajar dan seorang guru dikesan mengalami gejala berkenaan.
“Dua pelajar telah dimasukkan ke hospital swasta untuk rawatan dan pemantauan, seorang daripadanya telah didscaj dari wad, manakala kes-kes lain telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar, kesemua kes berada di dalam keadaan stabil,” katanya dalam sidang media di sini, pada Rabu.
Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah mengambil tindakan-tindakan kawalan bagi mencegah perebakan jangkitan tersebut. Ini termasuklah mengasingkan kes-kes yang bergejala daripada pelajar-pelajar lain yang sihat.
Beliau memberitahu, situasi di sekolah itu kini adalah terkawal.
Dalam pada itu, kata beliau, bagi mencegah jangkitan, orang ramai adalah disarankan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan di samping mengamalkan kebersihan diri.
Antaranya, jika terdapat mana-mana gejala seperti demam, batuk, dan sakit tekak, sila dapatkan rawatan di klinik atau di hospital dengan segera di samping disarankan berada di rumah sepanjang tempoh bergejala dan kurangkan pertemuan dengan rakan atau saudara mara.
Katanya, mereka juga dinasihatkan mengelakkan ke tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah, sekolah, tadika atau tempat kerja serta menghadiri majlis keramaian.
Bagaimanapun, ujarnya, sekiranya masih diperlukan bekerja, mereka yang bergejala perlu memakai penutup hidung dan mulut atau topeng sepanjang masa berada di tempat kerja.
Di samping itu, kata Sivanesan, pengambilan suntikan vaksin influenza bermusim adalah digalakkan, terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi.
#A Sivanesan
#guru
#Hospital
#Influenza H1N1
#Jab Kesihatan Negeri Perak
#kesihatan
#media sosial
#pelajar
#pesakit
#sekolah
#Sekolah Tunku Abdul Rahman
#STAR