Pelajar SPM maut ketika perjalanan ke tuisyen

Sinar Harian
Jun 5, 2022 07:15 MYT
Mayat mangsa yang terbaring di atas jalan akibat kemalangan di Jalan Salor Lama, Kota Bharu. -Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Chung Cheng maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke pusat tuisyen di Jalan Salor Lama, di sini, pada Ahad.
Remaja lelaki yang berusia 17 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera di kepala akibat kemalangan yang berlaku pada jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, sebelum kejadian itu, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan dalam perjalanan dari rumah ke pusat tuisyen.
“Mangsa menunggang secara lurus dari arah Pendek menghala ke Bulatan Kota, Kota Bharu dan apabila sampai di hadapan tanah perkuburan Salor, secara tiba-tiba motosikalnya hilang kawalan lalu mangsa terjatuh ke laluan bertentangan.
“Sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun berada di laluan bertentangan tidak sempat menekan brek akibat jarak yang terlalu dekat dan melanggar mangsa yang terbaring di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, akibat daripada pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan pada kepala.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia.
“Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
*Berita asal disiarkan di Sinar Harian
#pelajar tingkatan lima #SMKJ Chung Cheng #Jalan Salor Lama #Mohd Rosdi Daud
;