Pelajar SMK Chukai muncul juara 'Do Your: Bit Challenge'
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
November 2, 2021 06:00 MYT
November 2, 2021 06:00 MYT
KEMAMAN: Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Kemaman muncul juara pertandingan digital 'Do Your: Bit Challenge' Bagi Wilayah Asia-Pasifik’.
Ahmad Nasharuddin Anua, Mifzal Haziq Mazelan dan Muhammad Amiruddin Amar, semuanya berusia 16 tahun dan ahli kumpulan Erfinder, meraih kejayaan cemerlang menerusi rekaan alat menganalisis peratusan kandungan oksigen di dalam hutan bagi memantau aktiviti pembalakan.
Menurut Ahmad Nasharuddin, produk inovasi dengan alat yang diletakkan di hutan berupaya menghantar bacaan oksigen ke bilik kawalan untuk pemantauan secara berkala.
"Alat ini akan memudahkan kerja ranger sebab sebelum ni kita menggunakan pengesanan imej satelit.
"Kaedah ini menelan kos yang agak tinggi dan tidak terlalu spesifik sebab menggunakan jarak yang jauh.
"Tetapi dengan menggunakan sistem ini kita hanya menggunakan apa yang ada di muka bumi dan tidak perlu ke luar angkasa. Kosnya juga lebih rendah untuk pengurusan alam sekitar dan sekaligus ia akan menjadi lebih efisien dan lebih mudah," katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Chukai, Tengku Shahrir Tengku Dahlan berkata penyertaan ketiga-tiga pelajar itu berjaya mengenepikan lebih 400 penyertaan daripada negara-negara Asia Pasifik yang lain dan menang kategori 15 hingga 18 tahun.
"Kami akan cuba lagi untuk memasuki pertandingan-pertandingan yang lebih hebat, insyaAllah dengan dibantu oleh pihak Kolej Universiti TATI (TATIUC) dan juga NGO yang berada di luar sana.
"Ini selaras dengan Pelan Pembangunan Peringkat Malaysia untuk anjakan yang ke sembilan, di mana sekolah bersama-sama dengan agensi luar perlu bekerjasama antara satu sama lain untuk meningkatkan pencapaian sekolah itu sendiri," katanya.
Jelas Tengku Shahrir, pertandingan yang diadakan secara dalam talian bertujuan menggalakkan lebih ramai golongan muda tampil dengan pelbagai inovasi menggunakan 'microbit' iaitu komputer kecil dengan elemen pengaturcaraan dan pengekodan.