Pelajar SM Sri KDU kerah keringat, bina rumah untuk Orang Asli

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 26, 2018 17:58 MYT
Haris Azlan berkata keringat semua yang terlibat telah disatukan hasil pemikiran yang jitu dalam memastikan sebuah rumah dapat dibina. - Foto Astro AWANI
Memperkukuh semangat kerjasama. Itu antara nilai murni yang dipelajari 25 pelajar Sekolah Menengah Sri KDU dalam melaksanakan projek tanggungjawab korporat sosial mereka.
Wakil pelajar, Haris Azlan, 17 tahun, berkata keringat semua yang terlibat dapat disatukan hasil pemikiran yang jitu dalam memastikan sebuah rumah dapat dibina bagi keluarga Azrul Abul, penduduk Orang Asli di sini.
"Banyak yang kami belajar tetapi satu perkara utama yang kami pelajari adalah kerjasama sepasukan dalam menyiapkan rumah ini.
"Di mana struktur, bumbung, lantai dan dinding, semua itu memerlukan kerjasama semua termasuk daripada pasukan pembina.
"Secara jujurnya, ia memerlukan kerjasama, dedikasi dan kerja keras. Apabila fikiran itu disatukan dan meletakkan keringat bersama, itu yang menjadikan rumah ini tersergam indah," katanya mewakili rakan-rakan yang bertungkus lumus menyiapkan rumah ini selama tiga hari.
Dalam pada itu, bagi guru koordinator, G. Gandiraja, mengakui pada mulanya beliau tidak percaya pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu mampu menyiapkan rumah tersebut.
"Sebagai seorang guru, apa yang kami nampak mereka di dalam kelas dan di luar iaitu di tempat pembinaan ini, sangat berbeza 360 darjah.
"Ini kerana mereka mempunyai rasa memiliki dan telah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.
"Kita sebagai guru, pada mulanya tak percaya mereka boleh melakukannya, tetapi lepas melihat kebolehan yang ditunjukkan, mereka telah mengatasi had masing-masing," katanya.
Bagi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Menengah Sri KDU, M. Shanthi, ahli persatuan itu telah memberi komitmen tinggi termasuk dalam mendapatkan dana projek tersebut.
"Pertama, kami adakan cabaran kecergasan yang mana kami jalankan di peringkat sekolah dan dari sana kita dapatkan sebahagian dana.
"Disebabkan tidak mencukupi, kami menjalankan program golf amal yang mana bekas pelajar kami, pemain nombor satu Asia sekarang, Gavin Kyle Green telah menjadi duta kami tanpa meminta sebarang bayaran.
"Dari situ kami melakukan semua kerja dan mendapatkan orang dan akhirnya berjaya mengumpulkan dana," katanya.
Majlis penyerahan kunci rumah itu disempurnakan oleh kesemua pelajar yang terlibat termasuk guru koordinator dan pasukan pembinaan EPIC Home yang menjadi sebahagian peserta tanggungjawab korporat sosial Sri KDU itu.
#CSR #keluarga #Orang Asli #pelajar #pembinaan rumah #sekolah #Sri KDU
;