Pelajar sekolah vernakular tidak berdepan masalah kuasai Bahasa Melayu - KPM

Bernama
September 12, 2024 20:41 MYT
Wong Kah Woh berkata, Pertandingan Forum Pelajar dan Festival Bahasa dan Sastera dapat memupuk penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar SMPC, SJKC dan SJKT. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah vernakular seperti sekolah menengah persendirian Cina tidak berdepan masalah dalam menguasai Bahasa Melayu kerana kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan bagi memperkasa pembelajarannya.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata ini termasuk menggalakkan sekolah menyertai Pertandingan Forum Pelajar dan Festival Bahasa dan Sastera bagi memupuk penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Dimulakan sejak 1992, Wong berkata program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu sentiasa mendapat sambutan dengan tahun ini sahaja sebanyak 305 pelajar telah mengambil bahagian dalam pertandingan forum berbanding 295 pelajar pada tahun lepas.
"Bagi Festival Bahasa dan Sastera di seluruh negara pula, DBP menerima penyertaan 645 orang tahun ini berbanding 493 orang pada tahun lepas.
"Ini merupakan penyertaan paling tinggi dalam sejarah dan kita berharap usaha ini dapat diteruskan supaya mereka (pelajar) mempunyai plaftorm untuk menonjolkan kehebatan dalam menguasai bahasa Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penutupan Pertandingan Forum Pelajar dan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Kebangsaan 2024 di Wisma DBP di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Dr Anwar Ridhwan, Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari dan Naib Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Ngan Teng Ye serta Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia Datuk Goh Hin San.
-- BERNAMA
#pelajar #sekolah vernakular #Bahasa Melayu #penguasaan bahasa melayu #Wong Kah Woh
;