Pelajar sekolah, rakan didakwa rogol remaja 14 tahun dikenali melalui WhatsApp
Abd Razak Mohd Ali
September 22, 2023 14:40 MYT
September 22, 2023 14:40 MYT
IPOH: Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merogol rakan perempuan berusia 14 tahun yang dikenali melalui aplikasi WhatsApp di Kampung Sindu, Simpang Pulai, minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 16 dan 17 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun enam bulan di sebuah rumah di Kampung Sindu, Ipoh pada jam 4.30 petang, 15 September dan 9.30 pagi, 16 September lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor N. Ganesan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Khazali Yin.
Terdahulu, Ganesan mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin namun Mohamad Khazali memohon jumlah jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya mengambil kira faktor ekonomi dan tanggungan ibu bapa kedua-dua tertuduh.
Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga menetapkan 1 November depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan perubatan mangsa dan dokumen lain.