Pelajar sekolah perlu diajar kepentingan bayar cukai - Amiruddin
Najib Aroff
Oktober 2, 2018 21:37 MYT
Oktober 2, 2018 21:37 MYT
Kesedaran untuk membayar cukai perlu dipupuk sejak usia muda bagi melahirkan rakyat yang bersemangat patriotik dan cinta tanah air, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.
“Dengan adanya pendedahan awal mengenai cukai generasi muda akan lebih memahami kepentingan cukai dalam usaha membangunkan negara.
“Pemahaman yang baik mengenai cukai ini mampu menjadikan generasi muda kita lebih bertanggungjawab dalam urusan pembayaran cukai dan ia akan membantu kerajaan dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat melalui hasil kutipan cukai yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kem Cerdik Cukai (KCC) 2018 Kelapan anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Kementerian Pendidikan di Auditorium Akademi Percukaian Malaysia Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.
KCC yang bertemakan Pendidikan Percukaian Ilmu Seumur Hidup ini melibatkan 199 peserta dari 43 buah sekolah menengah terpilih seluruh negara iaitu 159 pelajar Tingkatan Enam dan 40 guru pembimbing yang mengikuti pelbagai aktiviti mengenai percukaian.
“Sehingga tahun taksiran 2017 sekitar 3.615 juta pembayar cukai individu yang dikategorikan sebagai belia telah menjalankan tanggungjawab untuk mendaftar sebagai pembayar cukai pendapatan.
“Angka ini menunjukkan peningkatan hampir 30,000 orang pembayar cukai baharu dalam kalangan belia berbanding tahun taksiran 2016 iaitu sekitar 3.585 juta dan 3.553 juta pada tahun taksiran 2015,” katanya.