Pelajar sekolah menengah maut, leher tersangkut wayar kabel elektrik
Bernama
April 9, 2017 23:52 MYT
April 9, 2017 23:52 MYT
Seorang pelajar sekolah menengah maut apabila kabel elektrik terjatuh sebelum tersangkut di lehernya ketika sedang membonceng sebuah motosikal, di Kilometer 5, Jalan Bota Kiri-Tanjung Blanja, kira-kira 70 kilometer dari sini, petang tadi (Ahad).
Nurul Huda Ashira Abdullah, 16, beralamat dari Bota Kanan, maut di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Zainal Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa menaiki motosikal jenis Honda Ex5 yang ditunggangi rakan perempuannya berusia 15 tahun, dalam perjalanan dari arah Parit menghala ke Bota.
"Setibanya di tempat kejadian yang ketika itu hujan lebat, tiba-tiba kabel tiang elektrik di sebelah kiri jalan telah terjatuh.
"Penunggang motosikal berkenaan cuba mengelak tetapi kabel tersebut tersangkut di leher mangsa yang duduk di belakang," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Zainal berkata penunggang motosikal berkenaan bagaimanapun mengalami kecederaan ringan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA