Pelajar sekolah maut digilis kereta ketika ke sekolah
Astro Awani
Januari 9, 2014 20:45 MYT
Januari 9, 2014 20:45 MYT
Seorang daripada pasangan kembar SMK Seri Gunong, Alor Setar, maut dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu berjalan kaki hendak ke sekolah.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi itu dikatakan bermula apabila mangsa, Nur Afiza Baquri,15 yang juga pelajar tingkatan tiga, sedang berjalan kaki bersama pasangan kembarnya, Nur Afifi Baquri,15, untuk ke sekolah yang terletak kira-kira dua puluh meter daripada rumah mereka.
Bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian mangsa Nur Afiza yang ketika itu berjalan dibelakang kembarnya secara tiba-tiba dilanggar dengan sebuah motosikal yang datang dari arah yang sama.
Akibat pelanggaran itu mangsa terpelanting ke tengah jalan lalu digilis sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan jalan.
Mangsa yang mengalami kecederaan serius dibahagian kepala dan badan maut di tempat kejadian dan kejadian itu disaksikan pasangan kembarnya yang hanya mampu kaku melihat mangsa terbaring berlumuran darah sebelum menghembuskan nafas dipangkuan kembarnya itu.
Bagaimanapun mayat mangsa diangkat oleh orang awam yang ketika kejadian melalui jalan itu sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah.
Sementara itu, ibu mangsa, Zaiton Ahmad, 40, yang masih terkejut dengan kejadian yang menimpa anak kembarnya itu tidak dapat menahan kesedihan sebaik tiba di tempat kejadian melihat anaknya telah tiada.
Ibu mangsa sempat menceritakan perubahan yang berlaku pada malam sebelum kejadian yang meragut nyawa salah seorang anak kembarnya itu.
Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
Manakala pembonceng motosikal dan pemandu kereta ditahan di Balai Polis Kota Setar untuk mendapat keterangan berkaitan kejadian.