Pelajar sekolah Cina, Tamil perlu kuasai Bahasa Melayu - PM Najib

Harits Asyraf Hasnan
April 15, 2017 07:37 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada perasmian Kongres Budaya 2017 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini. - fotoBERNAMA
Kerajaan komited untuk memastikan pelajar sekolah aliran Cina dan Tamil mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam mengukuhkan perpaduan di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri menegaskan perkara tersebut kerana ia merupakan instrumen penting dalam memelihara perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang hidup di Malaysia dan merupakan jati diri negara kita.
“Generasi baharu sama ada Cina, India, Ulu, atau Kelabit, cakaplah dengan baik bahasa kebangsaan kita.
“Ini kita perlu perjuangkan, kalau dia masuk sekolah aliran Cina dan Tamil pun dia kena cakap bahasa Melayu dengan baik, ini bahasa kita bahasa perpaduan kita, jati diri kita,” katanya semasa melancarkan Kongres Budaya 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Jelas Najib, ia tidak bermakna kerajaan menghalang mereka untuk bertutur dalam bahasa sendiri malah mengalakkan mereka untuk menguasai bahasa masing-masing tanpa sebarang sekatan.
“Tapi kita tidak halang malah mengalakkan lagi penguasaan bahasa kedua dan ketiga sebab kita mahukan orang Melayu dan bangsa Malaysia kita ini jati dirinya kukuh,” kata beliau.
Justeru, beliau menyarankan badan-badan yang dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa Melayu diberi ruang yang lebih luas dalam memastikan bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dalam setiap urusan harian.
#Bahasa Melayu #kepelbagaian kaum #Kongres Budaya 2017 #Malaysia #perpaduan #Sekolah aliran Cina #sekolah aliran Tamil