Pelajar sekolah agama maut kemalangan motosikal, lori

Adie Sufian Zulkefli
November 27, 2022 03:40 MYT
Rakan mangsa yang mengalami kecederaan tidak serius dihantar ke Hospital Sik untuk menerima rawatan. - Foto ihsan Bridget Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia
SIK: Seorang remaja maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori di persimpangan jalan Kampung Gajah Puteh, di sini, petang semalam.
Mangsa, Muhammad Naufal Muhammad Lutfi, 15 tahun, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Irsyadiah Pondok Ampang, Jeneri, maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Sik DSP Abdull Razak Osman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sik.
“Kejadian jam 6.30 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori dari arah jalan Sungai Tiang tidak sempat mengelak motosikal yang ditunggangi rakan mangsa yang ingin membelok masuk dari arah Kota Bukit.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa melambung dan jatuh ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Katanya, rakan mangsa mengalami kecederaan tidak serius dan menerima rawatan di Hospital Sik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Nahas #pelajar sekolah #motosikal #Lori