Pelajar sanggup tidak makan, simpan duit saku untuk beli dadah

Adie Sufian Zulkefli
Jun 25, 2020 12:30 MYT
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. - Foto Astro AWANI
"Saya sanggup tak makan dan simpan duit sekolah yang ayah bagi untuk beli dadah setiap hari..Semuanya berpunca akibat kesilapan saya terpengaruh dengan jiran yang juga penagih dadah".
Itu pengakuan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah dalam operasi malam Rabu.
Dalam operasi itu, seramai 50 individu ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi iaitu di Kuah, Ulu Melaka dan Kedawang, Langkawi.
Pengakuan remaja berkenaan yang terbabit dengan pengambilan dadah sejak setahun lalu memberitahu mula terjebak apabila jirannya yang berusia 18 tahun menyuruhnya cuba menghisap syabu.
Dia yang juga pelajar tingkatan empat salah sebuah sekolah di Langkawi berkata, pernah tertangkap dengan ibu bapanya ketika menghisap syabu di rumahnya menyebabkannya lebih berhati-hati untuk mengambil dadah selepas kejadian itu.
Ujarnya, dia sudah cuba berulang kali untuk berhenti namun gagal kerana dadah sudah menguasai dirinya.
Seorang lagi rakannya berusia 17 tahun ditahan ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan bekalan dadah.
Remaja yang sudah tidak bersekolah itu dikatakan terpengaruh dengan rakan sebaya dan menghisap dadah sejak berusia 13 tahun.
Dia sudah tidak bersekolah lagi mengakui baru mengambil dadah semula selain mengakui mula ketagih dan seronok dengan perbuatan itu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Kedah, Nasru’d-din Abdul Rahman berkata, dua pelajar itu ditahan dalam operasi Ops Total Enforcement (Ops TE II).
"Seorang tu kita kesan sedang dalam perjalanan ke lokasi menagih, seorang lagi baru selesai mengambil dadah dan keluar dari tempat mereka menagih," katanya.
Jelasnya, jumlah keseluruhan individu yang ditahan adalah seramai 245 orang namun 219 orang positif yang mana 213 orang adalah lelaki dan enam wanita.
Ianya membabitkan jumlah tangkapan sejak Ops TE II dilakukan bermula 22 Jun lalu hingga jam 12 tengah malam tadi.
Nas'rud-din berkata, paling ramai ditahan adalah mereka yang positif dadah jenis methapetamine iaitu seramai 115 orang manakala opiate seramai 103 orang dan ganja seorang.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Manakala 12 orang yang memiliki dan mengedar dadah diserah kepada polis untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A (2) ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952, Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 dan Seksyen 39C ADB 1952.
Kesemua mereka dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Kampung Selamat, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dan dua remaja terbabit di PUSPEN Kulim.
#AADK #Dadah #operasi #pelajar #Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik #PUSPEN #remaja #Syabu
;