Pelajar sanggup kerja hujung minggu sebab nak beli vape - CAP
Harits Asyraf Hasnan
September 7, 2019 15:39 MYT
September 7, 2019 15:39 MYT
Tahap penggunaan vape dan rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan, kata N. V. Subbarow.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu mengakui perkara tersebut setelah bertemu lebih 2,000 pelajar di Kedah dan Pulau Pinang.
Tegasnya, rata-rata antara mereka yang telah menghisap vape atau rokok elektronik tidak mengetahui berkenaan kandungan kimia terutama dalam cecair yang digunakan.
"Ramai guru-guru disiplin yang telah merampas vape atau rokok elektronik ini telah menghubungi kami (CAP) dan saya sendiri ke sekolah-sekolah untuk bertemu pelajar, yang rata-ratanya bawah umur 16 tahun.
"Mereka ini akui yang mereka tidak tahu apakah bahan-bahan kimia yang berada dalam kandungan cecair tersebut. Ibu bapa pula tidak akan tahu sebab ia bau buah-buahan dan bukan seperti rokok biasa," katanya ketika ditemui media di sini pada Sabtu.
Beliau sebelum itu menyampaikan syarahan pada bengkel Vape Ancaman Kepada Remaja di Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia di sini yang turut dihadiri pegawai perubatan, kaunselor, guru dan wakil beberapa persatuan ibu bapa dan guru.
Jelasnya lagi, ada segelintir antara pelajar yang sanggup bekerja pada hujung minggu di restoran mahupun stesen petrol semata-mata mengumpul wang untuk membeli vape atau rokok elektronik.
"Mereka (pelajar) membelanjakan wang yang banyak untuk membeli barang-barang seperti ini dan ia sangat mahal iaitu dari RM45 hingga RM300.
"Mana mereka dapat duit? Pelajar mengakui apabila mereka bercuti, mereka kerja sambilan di stesen minyak dan kedai makan untuk beli barang sebegini," ujarnya.
Justeru beliau meminta Kementerian Pendidikan memulakan projek atau akviti yang dapat memberi pendidikan dan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah berhubung penggunaan vape dan rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah.
#guru
#Kementerian Pendidikan
#pelajar
#pelajar sekolah vape
#perubatan
#remaja
#rokok
#rokok elektronik
#vape