Pelajar sambut cuti Krismas lemas di Bukit Wang
Adie Sufian Zulkefli
Disember 25, 2021 17:20 MYT
Disember 25, 2021 17:20 MYT
KUBANG PASU: Kegembiraan lima sahabat mandi air terjun di Pusat Peranginan Bukit Wang di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, pada Sabtu.
Kesemua pelajar institut pengajian tinggi awam berusia 21 itu dikatakan pergi ke kawasan itu untuk berkelah sempena cuti umum Krismas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.07 tengah hari.
Beliau berkata, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Jitra dihantar ke lokasi dan menemui mangsa tersangkut di celah batu di dalam air.
"Anggota membawa mangsa keluar dari dalam air sebelum diangkat menggunakan pengusung dan disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba.
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Difahamkan, kawasan rekreasi itu masih ditutup sepenuhnya kepada orang awam selepas kejadian kepala air Oktober lalu yang menyebabkan banjir kilat di kawasan sekitar.