Pelajar POLISAS lemas ketika mandi di air terjun

Noraniza Kamsani
Oktober 7, 2017 22:47 MYT
Mangsa, Muhammad Ashraf Amran, 19 tahun, ke kawasan air terjun berkenaan kira-kira pukul 3.15 petang bersama tujuh rakannya. - Foto bomba
Seorang pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di sini mati lemas ketika mandi di Air Terjun Berkelah di sini, petang tadi.
Mangsa, Muhammad Ashraf Amran, 19 tahun, ke kawasan air terjun berkenaan kira-kira pukul 3.15 petang bersama tujuh rakannya.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Anuar Hassan, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat tentang kejadian itu pada pukul 3.30 petang.
"Maklumat dari rakan mangsa menyatakan mereka masuk ke tingkat satu air terjun berkenaan pada jam 2 petang.
"Mayat mangsa dijumpai pada pukul 6.01 petang selepas anggota membuat selaman di kawasan tempat mangsa lemas," katanya ketika dihubungi.
Katanya, mangsa dibawa naik ke daratan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
"Mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya dan sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya lagi.
#Air Terjun Berkelah #mati lemas #Muhammad Ashraf Amran #pelajar #POLISAS
;