'Pelajar PhD perlu rasional hadapi isu kelewatan elaun' - WeMalaysia

Wan Syamsul Amly
Oktober 5, 2016 10:21 MYT
Pengerusi WeMalaysia, Mohd Ali Halim Sirat berkata, pelajar perlu melihat situasi itu sebagai ruang selain memberi peluang kepada pihak berkaitan merancang, mengatur dan melaksanakan penambahbaikan.
Pelajar seharusnya bersikap rasional, terbuka dan toleransi dalam menghadapi isu seperti kelewatan pembayaran elaun kepada penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di luar negara.
Pengerusi WeMalaysia, Mohd Ali Halim Sirat berkata, pelajar juga perlu melihat situasi itu sebagai ruang selain memberi peluang kepada pihak berkaitan merancang, mengatur dan melaksanakan penambahbaikan.
"Dalam mana-mana sistem dalam organisasi, kita perlu faham bahawa setiap organisasi mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu yang perlu dipatuhi bagi memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dicapai dalam mengutamakan kepuasan pelanggan.
"Dalam hal ini, apabila hal sedemikian berlaku, pelajar perlu mewujudkan kesedaran dalam diri bahawa betapa pentingnya membentuk kesedaran dalam merancang perbelanjaan sara hidup di luar negara sekali gus bersiap sedia berdepan pelbagai situasi.
"Sebenarnya, banyak faedah yang boleh diperolehi apabila kita tahu merancang perbelanjaan dengan bijak terutama bagi pelajar yang masih menyambung pengajian di luar negara," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Mohd Ali mengulas rungutan pelajar PhD tajaan KPT di luar negara yang dikatakan sengsara apabila dimaklumkan tentang kelewatan pembayaran elaun sara hidup yang seharusnya diterima pada bulan ini.
Bagaimanapun, KPT dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan pelajar PhD yang berkenaan akan menerima elaun itu seawal hari ini.
KPT menjelaskan bahawa proses kelewatan pembayaran itu adalah disebabkan oleh beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Dalam pada itu, Mohd Ali berpendapat, pelajar Malaysia di luar negara haruslah sentiasa meletakkan kepercayaan dan membina keyakinan berterusan kepada negara apabila diuji dengan pelbagai situasi.
"Memberi peluang kepada pihak berkaitan melakukan penambahbaikan adalah baik dan yang paling penting adalah menjauhi sebarang keraguan dan prasangka yang boleh merugikan kita semua.
"WeMalaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada KPT atas keprihatinan dan kecekapan dalam menangani perkara ini dan bersyukur tindakan fast-action yang dilakukan menunjukkan KPT berusaha sedaya upaya memastikan kebajikan pelajar Malaysia khususnya di luar negara sentiasa diberi keutamaan," jelasnya.
WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).
#elaun sara diri #KPT #PhD #WeMalaysia
;