Pelajar PhD di luar negara terkesan elaun KPT lambat masuk

Wan Syamsul Amly
Oktober 2, 2016 09:42 MYT
Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di luar negara sengsara apabila dimaklumkan kelewatan pembayaran elaun sara hidup yang seharusnya diterima bulan ini.
Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di luar negara dikatakan sengsara apabila dimaklumkan tentang kelewatan pembayaran elaun sara hidup yang seharusnya diterima bulan ini.
Seorang pelajar PhD di United Kingdom (UK) yang enggan dikenali berkata, ia menjadikan kumpulan pelajar itu terpaksa menanggung denda kelewatan pembayaran pelbagai bil utiliti di luar negara.
"Kelewatan penerimaan elaun sara diri bagi bulan Oktober 2016 memberi terlalu banyak implikasi kepada saya dan keluarga, terutamanya dalam hal berkaitan sewa rumah bulanan, insurans kereta, kos pengangkutan dan sara diri kehidupan.
"Komitmen dan tanggungan sara diri adalah besar dan ini ditambah dengan faktor pasangan yang tidak bekerja dan mempunyai visa yang tidak membenarkannya untuk bekerja.
"Sehubungan itu, pembayaran elaun perlu mengikut jadual untuk memastikan penalti lain tidak dikenakan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Difahamkan pekeliling KPT menyebut kelewatan pembayaran elaun adalah selama tiga minggu iaitu pada 14 Oktober ini.
Kata pelajar itu lagi, mengikut undang-undang di UK, penyewa yang mempunyai anak lebih daripada dua perlu menyewa rumah atau apartment yang mempunyai tiga atau empat bilik.
"Ia menjadikan caj sewa rumah di luar kampus berjumlah RM3,200 (800 pound). Jika jumlah ahli keluarga adalah seramai lapan orang, seseorang pelajar itu perlu membeli kereta yang boleh menampung sekeluarga. Oleh itu, insuran kereta yang diperuntukkan adalah berharga tinggi iaitu sebanyak RM8,000 (1,500 pound) dan kos pengangkutan petrol adalah sebanyak RM530 (100 pound) seminggu.
"Dengan menanggung komitmen demikian, kerjasama daripada pihak Bahagian Biasiswa KPT untuk mengeluarkan surat makluman kepada tuan rumah dan pihak insuran kereta mengenai kelewatan pembayaran biasiswa ini.
"Makluman secara rasmi akan menjadi bukti kukuh mengenai kelewatan pembayaran sewa rumah dan pembayaran insurans kereta tersebut," ujarnya.
Astro AWANI difahamkan bayaran biasanya dibuat empat bulan sekali atau tiga pembayaran setiap tahun.
Sementara itu, seorang pelajar PhD di Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali berkata kelewatan penerimaan elaun sara diri memberi terlalu banyak implikasi kepadanya dan keluarga terutamanya dalam hal berkaitan sewa rumah bulanan, insurans kereta, kos pengangkutan dan sara diri kehidupan.
"Mengikut undang-undang di AS, penyewa yang mempunyai anak perlu menyewa rumah atau apartment yang mempunyai dua bilik.
"Dengan itu, saya menyewa rumah di luar kampus dengan jumlah RM3,000 (USD750). Kedua, jika saya tidak menjelaskan pembayaran ini maka jumlah penalti akan dibayar adalah sebanyak RM320 (USD80) dan penalti harian akan juga akan dikenakan sebanyak RM80 (USD20) sehari.
"Seterusnya, jika jumlah penuh tidak langsaikan, maka nama penyewa akan dibawa ke mahkamah. Hanya makluman secara rasmi KPT kepada semua pihak berkenaan akan menjadi bukti kukuh mengenai kelewatan pembayaran sewa rumah dan pembayaran insurans kereta tersebut," ujarnya.
#AS #elaun sara diri #KPT #pelajar #PhD #UK
;