Pelajar perubatan Malaysia mati lemas di Kursk, Rusia

Bernama
Mei 5, 2013 10:33 MYT
Seorang pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Perubatan Kursk State, Rusia ditemui mati lemas oleh pihak berkuasa tempatan negara itu pada kira-kira 9 pagi Sabtu waktu Rusia.
Setiausaha ketiga kedutaan besar Malaysia di Moscow Shahrul Aszemi Suandi berkata N.Umamaheswaran dikatakan melakukan aktiviti luar di sebatang sungai di Kursk bersama beberapa rakan sebelum dilaporkan lemas kira-kira 10 malam, Jumaat.
Beliau berkata mayat mangsa yang berasal dari Pahang itu berjaya ditemui pihak berkuasa Rusia selepas usaha mencari dilakukan selama 11 jam.
"Kita telah memaklumkan kepada keluarga mangsa, dan kini mayatnya ditempatkan di Hospital Kursk sementara menanti proses bedah siasat yang akan dilakukan pada Isnin," katanya.
Shahrul berkata buat masa ini, pihaknya belum dimaklumkan punca sebenar kematian mangsa dan hanya diberitahu pelajar itu mati lemas ketika melakukan aktiviti luar.
"Kita tidak dapat sahkan mangsa bersama siapa dan apa aktiviti yang dilakukan kerana itu semua sedang disiasat oleh pihak berkuasa Rusia," katanya sambil menambah mayat Umamaheswaran dijangka tiba ke Malaysia pada Rabu.
#pelajar #Rusia
;