Pelajar perubatan Malaysia di Indonesia mohon dikecualikan 'exit exam'

Bernama
Mei 29, 2020 05:15 MYT
Pelajar perubatan tahun akhir Malaysia di Indonesia berharap mereka akan dikecualikan daripada menduduki Ujian Kompetensi Mahasiswa Program Profesi Dokter Ogos ini. -Gambar hiasan
Pelajar perubatan tahun akhir Malaysia di Indonesia berharap mereka akan dikecualikan daripada menduduki Ujian Kompetensi Mahasiswa Program Profesi Dokter (UKMPPD) atau "Exit Exam" yang dijadualkan Ogos ini.
Wakil mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Anne, penuntut di sebuah universiti di Medan, berkata ini kerana wabak COVID-19 belum berakhir selain tiada keperluan bagi mereka menduduki ujian tersebut yang tidak diiktiraf oleh sistem pendidikan Malaysia.
"Sebenarnya UKMPPD merupakan ujian yang perlu diambil seseorang mahasiswa yang ingin menjadi doktor di Indonesia.
"Bagi kami pelajar Malaysia, peperiksaan itu bukan satu keperluan kerana ia bukan syarat untuk menjadi doktor di negara ini.
"Sebelum ini, lulusan perubatan dari Indonesia tidak diwajibkan menduduki ujian itu sebelum konvokesyen.
"Tetapi sejak 2016, antara syarat untuk mendapat sijil dan konvokesyen, kami perlu duduki 'Exit Exam'," katanya ketika dihubungi Bernama.
Anne berkata dia dan rakan-rakannya telah pulang ke tanah air sejak penghujung Mac lalu selepas diberitahu ujian tersebut yang dijadualkan pada Mei dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun katanya mereka menerima notis daripada badan yang menguruskan ujian itu iaitu Panitia Nasional UKMPPD pada awal bulan lepas, memaklumkan ujian tersebut akan berlangsung pada Ogos ini.
"Kami sangat berharap kerajaan Indonesia dapat menimbang mengecualikan kami daripada UKMPPD. Kalau diminta kembali ke Indonesia untuk duduki ujian, pastinya ia memberi masalah dari segi pengangkutan dan kami juga akan terdedah dengan risiko COVID-19," katanya.
Seorang lagi wakil pelajar, Jerry yang menuntut di sebuah universiti di Jakarta, berkata kesemua silibus pembelajaran telah diselesaikan dan hanya menunggu untuk menduduki UKMPPD sebelum konvokesyen.
"Sebelum ini kami dah selesaikan semua silibus, termasuk teori tiga tahun lebih dan dah jalani praktikal selama dua tahun. Semuanya dah selesai mengikut kemahuan universiti.
"Sekarang macam membazir masa, sebab nak kena tunggu untuk duduki UKMPPD sebelum dapat sijil, sedangkan ujian itu tak diperlukan untuk kami dapat tempat dalam industri. Kalau tak tunggu ujian itu, mungkin kami dah dapat sijil dan boleh berdaftar dengan MMC (Majlis Perubatan Malaysia) untuk housemanship di Malaysia," katanya yang turut berharap dikecualikan daripada ujian tersebut.
UKMPPD adalah prosedur yang wajib diikuti oleh mahasiswa tahun akhir jurusan perubatan di Indonesia sebelum mendapat surat izin praktik sebagai pengamal perubatan, dan ujian itu juga diwajibkan kepada pelajar luar termasuk dari Malaysia sekalipun ujian itu tidak diiktiraf atau diambil kira oleh sistem pendidikan di negara lain.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Exit Exam #Indonesia #koronavirus #Pelajar perubatan tahun akhir #peperiksaan #Ujian Kompetensi Mahasiswa Program Profesi Dokter #UKMPPD
;