Pelajar perlu rebut peluang ceburi bidang keusahawanan - Mary Yap
Wan Syamsul Amly
November 17, 2017 14:44 MYT
November 17, 2017 14:44 MYT
Pelajar perlu merebut peluang menceburi bidang keusahawanan menerusi program yang dirancang setiap tahun di bawah Pelan Tindakan Keusahawanan Industri Pendidikan Tinggi 2016-2020.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, perkara itu termasuk Program KPT - MTDC Symbiosis TVET 2017.
Jelasnya, program itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan graduan yang holistik, bercirikan keusahawanan dan seimbang seperti disasar di bawah lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.
"Fasa yang pertama adalah pemilihan teknologi, yang kedua bengkel pengkomersialan produk pelajar dan fasa ketiga perjalanan pengkomersialan.
"Sementara fasa keempat bengkel rakan kerja perniagaan, fasa kelima pemerkasaan usahawan dan pendanaan serta fasa keenam pasca kelulusan dan validasi pasaran teknologi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Program KPT - MTDC Symbiosis TVET 2017 di sini hari ini.
Program Siswazah Keusahawanan MTDC atau gelarannya Symbiosis, bertujuan untuk melatih graduan dipilih untuk menjadi usahawan tekno.
Symbiosis adalah satu program komprehensif yang meliputi aspek pengkomersilan serta keusahawanan.
Dalam pada itu, Ketua Unit Keusahawanan dan PPRN Kementerian Pendidikan Tinggi Datin Dr Syahira Hamidon menjelaskan, pihaknya mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk memastikan pembangunan penyelidikan ini memenuhi kehendak dan pasaran semasa.
"Dalam jangka panjang kita berharap agar pelaksanaan program seperti ini, kita bantu juga industri di Malaysia terutama Industri Kecil dan Sederhana (IKS) meningkatkan rangkaian perniagaan mereka supaya lebih berdaya saing dan kompetitif.
"Ini merupakan salah satu outcome pendedahan yang diberi di peringkat pelajar politeknik dan kolej komuniti apabila menceburi bidang keusahawanan.
"Mereka jadi usahawan bukan sahaja dapat mencipta pekerjaan malah mencipta perniagaan baharu bersesuaian kehendak masyarakat pasa masa depan," katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus, ia merupakan program pertama melibatkan pelajar politeknik dan komuniti selepas 12 program sebelum ini bersama KPT.
"Kita berharap program ini akan menjadi permulaan yang berjaya kerana kita ingin menyokong usaha memperkasa TVET dalam negara.
"Kita juga ingin melihat potensi untuk pelajar politeknik dan kolej komuniti ini menyumbang kepada pembangunan SME dalam konteks industri 4.0 ini," jelasnya.
Tambahnya, MTDC akan menyalurkan dana maksimum RM500,000 kepada seramai 30 daripada 88 pelajar yang akan dipilih untuk mereka menubuhkan 10 syarikat dan mengkomersialkan hasil penyelidikan yang akan dibangunkan politeknik sendiri.
Sementara itu, pelajar semester kelima Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Amir Mirza Mohd Daeneal berkata, program itu menjadi platform untuknya memenuhi cita-cita menjadi usahawan.
"Matlamat saya hendak menjadi salah seorang usahawan simbiosis kerana sudah minat perniagaan dan keluarga juga mempunyai satu perniagaan.
"Saya belajar dalam jurusan mekanikal, jadi cita-cita saya hendak menjadi seorang jurutera, saya nampak program ini memberi peluang untuk merealisasaikan cita-cita serta minat menjadi usahawan teknologi," jelasnya.
Pada akhir program ini, calon yang dipilih akan menerajui syarikat permulaan untuk mengkomersialkan teknologi dari universiti atau institusi penyelidikan yang telah dipilih dengan teliti oleh MTDC.
Symbiosis syarikat permulaan akan dapat memohon dana MTDC untuk beroperasi dari mana-mana pusat teknologi dan menerima bimbingan serta perkhidmatan nilai tambah lain seperti lain-lain syarikat dalam ekosistem MTDC.
#calon
#Kementerian Pendidikan
#KPT - MTDC
#Mary Yap Kain Ching
#nilai
#pelajar
#pemilihan
#pendidikan
#pendidikan tinggi
#symbiosis
#TVET
#usahawan