Pelajar perlu berfikiran terbuka dengan perkembangan pendidikan
Bernama
Mac 27, 2018 04:15 MYT
Mac 27, 2018 04:15 MYT
Para pelajar perlu mampu menyesuaikan diri mereka menghadapi perubahan pendidikan yang dibawa pembangunan pesat teknologi yang dijangka mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu pada masa depan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata kementeriannya juga sedang bekerja keras membangunkan semula sistem pendidikan bagi menghadapi keperluan ekonomi pada masa depan dan mempersiapkan generasi baharu agar kekal kompetitif dalam Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0.
"Kita kini berada pada permulaan baharu langkah yang lebih menarik di mana dunia menghadapi perubahan besar yang dibawa oleh kemajuan digital. Para graduan tidak boleh berada di takuk lama dengan menimba pengetahuan secara tradisional.
"Kita semua mesti mengubah cara kita belajar melalui beberapa aspek, ruang pembelajaran yang direka bentuk semula, pedagogi, kurikulum dan teknologi berbeza untuk menguruskan impak realiti maya, Internet of Things, kecerdasan buatan dan banyak lagi," katanya dalam ucapannya pada majlis pelancaran Rangka Kerja Kurikulum Taylor's University di sini pada Selasa.
#graduan
#Idris Jusoh
#pelajar
#peluang pekerjaan
#pendidikan
#Revolusi Perindustrian Keempat
#teknologi