Pelajar perempuan Tingkatan Tiga maut jatuh bangunan sekolah - Polis Kedah
Adie Sufian Zulkefli
November 10, 2022 16:14 MYT
November 10, 2022 16:14 MYT
ALOR SETAR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga ditemukan mati selepas dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah di Simpang Empat, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 pagi.
“Ketua Balai Polis Simpang Empat menerima panggilan mengatakan terdapat seorang pelajar perempuan sekolah itu dipercayai terjatuh bangunan sekolah.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati bangunan sekolah itu mempunyai empat tingkat yang mana bahagian bawah adalah perpustakaan, manakala tingkat dua pula kosong, tingkat tiga pula adalah kelas bagi pelajar Tingkatan Enam manakala tingkat empat pula kosong.
"Polis belum mengenal pasti pelajar terbabit terjatuh daripada tingkat berapa dan siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca bagaimana kejadian itu berlaku," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Ahmad Shukri berkata, menurut saksi, ketika kejadian, keseluruhan bangunan itu kosong kerana semua murid sekolah berkenaan menghadiri perhimpunan sebelum memasuki kelas masing-masing.
Beliau berkata, mayat pelajar berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.