Pelajar perempuan maut jatuh tingkat 3 bangunan sekolah

Sinar Harian
Mac 23, 2024 15:10 MYT
Seorang pelajar perempuan terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah di Sungai Buloh. - Gambar hiasan
SUNGAI BULOH: Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang pelajar Tingkatan Empat yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.26 pagi menyatakan seorang pelajar perempuan terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah.
Beliau berkata, sebaik sahaja menerima laporan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan di kepala.
"Kecederaan itu disebabkan terjatuh dari tempat tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, menurut beliau, satu kertas siasatan sebagai mati mengejut (SDR) telah dibuka berhubung kejadian tersebut.
Untuk itu kata beliau, orang ramai terutama pengguna media sosial dinasihatkan tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran atau menggugat ketenteraman awam. - Sinar Harian
#pelajar maut #jatuh bangunan #Sungai Buloh #punca kematian
;